Thursday, October 29, 2009


Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my

ARIL (kiri), Mila dan Akim terjebak dalam cinta remaja yang penuh dengan pelbagai cabaran menerusi Kau & Aku.

MEMBARISKAN pelakon dan penyanyi popular serta bintang-bintang Akademi Fantasia (AF), drama muzikal bersiri Kau & Aku tampil mengisahkan kehidupan anak remaja mengejar cita-cita di sebuah kolej seni persembahan.

Menemui penonton pada setiap Sabtu, pukul 10 malam bermula 24 Oktober di saluran Ria (saluran 104, Astro), Kau & Aku menampilkan Mila (juara AF5), Aril dan Akim (AF7) selaku penggerak utama drama yang diarahkan oleh Roslan Hussin ini.

Pelakon-pelakon lain antaranya Amar, Farish, Raja Farah, Anita Baharom, Ika, Nonny, Zoey, Azizah Mahzan, Nurul Wahab, Sabrina Ali Khan serta Riezman.

Menariknya, drama muzikal bersiri 26 episod ini diserikan lagi dengan penampilan istimewa Hafiz (juara AF7), Stacy (juara AF6) dan Dafi (AF5).

Memulakan cerita mengenai kehidupan harian sekumpulan pelajar di sebuah kolej, antaranya Mila dan Akim. Bermula sebagai sahabat, akhirnya perasaan cinta berputih di hati mereka.

Namun, segalanya tidak seindah yang disangka apabila muncul watak-watak yang sentiasa dengki dan iri hati terhadap mereka.

Drama bersiri ini juga akan diselang-seli dengan persembahan muzikal melalui lagu-lagu dan bait-bait lirik yang romantis bercampur sedih, geram serta lucu.

Sebanyak 10 buah lagu runut bunyi akan menjadi latar cerita ini iaitu Bengang (Akim), Toksid (Aril), Menatap Matamu (Aril), Jika Kau Ubah Fikiran (Mila), Kau Dan Aku (Akim & Mila), Kisah Kita Berdua (Mila, Akim & Aril), Kita Pasti Menang (Akim & Aril), Lelaki Pujaan (Aril dengan penampilan Mila), Menanti (Mila) dan Berbicara (Isma).

Bagaimanapun, kemunculan Kau & Aku bagai tidak terlepas daripada menerima kritikan apabila dilihat seakan menyamai konsep serta jalan cerita High School Musical (HSM), sebuah produksi Disney Channel Original Movie.

Ini kerana, HSM dan Kau & Aku memiliki jalan cerita yang seakan sama termasuk konsep muzikal yang diketengahkan.

Tangkas menafikan dakwaan sedemikian, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul menjelaskan, bahawa Kau & Aku lahir bukan dicedok daripada HSM.

“Buat pengetahuan semua, drama hiburan Kau & Aku telah diadaptasi daripada format drama hiburan popular yang berasal dari Venezuela.

“Kami telah meminjam format antarabangsa dan mengubahsuainya mengikut kesesuaian kehidupan masyarakat Malaysia. Oleh yang demikian, tidak boleh kata Kau & Aku meniru HSM kerana ia milik Disney.

“Persiapan untuk penggambaran Kau & Aku dilakukan Julai lalu. Penggambaran kemudiannya dijalankan sekitar Ogos dengan pelakon dan tenaga produksi berhadapan cabaran apabila ia dilakukan pada bulan Ramadan serta Syawal,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran Kau & Aku di Rainforest Sports Bar, Pavillion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kata Khairul, format drama dari Venezuela mengambil latar pelajar sekolah sebagai penggerak cerita tetapi Kau & Aku menceritakan perihal pelajar di sebuah kolej.

Dengan penggambaran dijalankan di Indonesia, pihak produksi berhadapan cabaran untuk memilih barisan pelakon dalam masa yang cukup singkat.

“Mujur pelajar AF ramai yang punyai bakat lakonan dan nyanyian serta ditambah dengan pelakon-pelakon berpengalaman lain.

“Semua 26 episod sudah siap dirakam. Genre ini masih baru. Bukannya ia tidak pernah dihasilkan tetapi belum diterajui sepenuhnya,” ujarnya.

Menyentuh rasionalnya penggambaran itu dijalankan di Indonesia, Khairul memberitahu asalnya hakcipta drama itu telahpun dibeli oleh Indonesia Global TV yang merupakan anak syarikat Astro.

“Lokasi utama untuk drama ini telahpun dibina di sana iaitu kolej para pelajar berkenaan. Jadi untuk tidak membazirkan apa yang kami ada, kami gunakan untuk penggambaran babak-babak menari dan studio deejay radio.

“Sebanyak 50 peratus daripada lokasi penggambaran drama muzikal ini dibuat di Putrajaya dan kesemua babak dalaman yang melibatkan para pelajar dan deejay dilakukan di Indonesia,” kata Khairul Mizan.

Walaupun bajet menerbitkan drama muzikal ini agak tinggi, namun menurut Khairul Mizan, apa yang penting Astro mahu memberikan drama berkualiti dan menghiburkan yang menggabungkan tarian, nyanyian dan lakonan.

“Jika rating drama muzikal ini tinggi, tidak mustahil Astro akan menerbitkannya untuk musim kedua,” kata Khairul Mizan lagi.

Sementara itu, menurut Roslan Husin, walaupun kebanyakan pelakon ini lahir daripada rancangan realiti TV Astro namun tidak sukar membimbing mereka.

Jelasnya, pelakon seperti Aril dan Akim memiliki potensi dan bakat mereka boleh dilentur serta mampu menjadi pelapis untuk masa depan.

“Selain itu kita juga mendapat kerjasama di Indonesia untuk pemilihan pelakon tambahan serta penari.

“Saya mengharapkan Kau & Aku akan mendapat rating yang tinggi dan menjadi perhatian penonton,” katanya.

Dalam pada itu, bagi yang ingin mendapatkan informasi terkini Kau & Aku serta muat turun pelbagai kandungan, ia mampu diperolehi dengan melayari laman web rasmi drama berkenaan di www.astro.com.my/kaudanaku.

Laman web itu menawarkan informasi lengkap mengenai drama muzikal tersebut termasuk berita terkini, ulasan mingguan, sinopsis, gambar serta video menarik.

Kredit: Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment